Thursday, November 13, 2008

Mahathir Pura-pura Tidak Tahu

KOPITIAM TALK
12 November 2008

MANTAN Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun pura-pura bertanya bagaimanakah Datuk Zaid Ibrahim termasuk dalam golongan peguam yang berpendapatan lumayan di negara ini sedangkan beliau tidak pernah membaca berita Zaid mempertahankan mana-mana kes jenayah yang bayaran guamannya besar..

Lalu Mahathir menyatakan kemungkinan pendapatan Zaid itu daripada menjalankan urusan berkaitan dengan kes-kes penswastaan kerajaan dan lain-lain keperluan “conveyancing” kerajaan. Masakan selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, Mahathir tidak tahu yang sebenarnya.

Tun Mahathir telah mengulas kenyataan Zaid yang mempertahankan bayaran ex-gratia RM5 juta kepada bekas ketua hakim negara kerana dibandingkan dengan pendapatan peguam terkemuka pun mencecah RM2 juta setahun.

Zahid telah mengusahakan pembayaran itu dengan restu Perdana Menteri Datuk Abdullah Badawi dalam konspirasi mereka untuk membalas dendam terhadap Mahathir.

Sebenarnya bukan semua firma guaman Melayu yang berpendapatan dua juta ringgit setahun kecuali firma-firma yang mempunyai cable dengan kerajaan. Zaid tidak mungkin mendapat peluang-peluang kerja guaman dari kerajaan jika beliau bukan orang UMNO.

Bagaimanapun setelah meletakkan jawatan Menteri, Zaid menyatakan “Ketuanan Melayu” tidak perlu.

Keadaan sama seperti Tun Mahahtir sendiri yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun menerusi tiket UMNO, tetapi kemudian hentam UMNO dan meninggalkan UMNO kerana marahkan Abdullah. Marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Bezanya ialah Zaid sekalipun masih berada dalam UMNO, tetapi menggambarkan dirinya bukan orang UMNO. Mahathir pula sesudah keluar UMNO, tetap berdarah sejati UMNO, tidak lupa daratan dan tidak lupa ketuanan.

Zaid marahkan UMNO dan Mahathir kerana penyingkiran Anwar Ibrahim dari UMNO yang dengan itu melibatkan juga masa depan politiknya.

Bagaimanapun Perdana Menteri Abdullah telah memberikan semula tempat kepadanya atas nasihat menantunya Khairy, anaknya Kamaruddin dan beberapa orang lagi di `tingkat empat' untuk menjalankan misi khas tetapi ternyata senjata menikam diri. Apabila sesaorang yang dilantik tanpa berasaskan kepada akar umbi maka dia tidak memahami perasaan ramai.

Apabila Zaid membuat kenyataan-kenyataan yang melupakan asal usulnya setelah meletakkan jawatan sehingga ke tahap tidak dapat melihat faedah Ketuanan Melayu maka ternyatalah bahawa Abdullah Badawi telah melakukan satu lagi kesilapan politik besar yang menambah kemarahan orang kepadanya.

Perlu disebutkan bahawa Zaid juga adalah salah seorang pengasas Majlis Peguam Islam dengan tujuan untuk mencari populariti politik di kalangan orang Islam di negara ini ketika beliau memulakan karier politiknya..

Mungkin sekarang beliau juga berfikir tidak perlu lagi majlis itu baginya kerana tanpa Islam pun, dengan segala kekayaannya dia tidak sahaja boleh hidup di kalangan orang Islam tetapi boleh diterima dengan baik oleh kaum India dan Cina yang tidak beragama Islam.

Taraf pemikiran liberalnya adalah sejalan dengan Pak Lah yang nampak bahawa orang bukan Melayu pun berpeluang menjadi Perdana Menteri Malaysia berikutan dengan kemenangan keturunan kulit hitam Barack Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Cuma Perdana Menteri Singapura Hsien Loong agak ketinggalan tetapi realistik apabila beliau tidak nampak orang Melayu boleh menjadi Perdana Menteri Singapura untuk suatu jangka waktu yang lama. Tetapi Pak Lah membarakan harapan perkara itu kerana beliau menyatakannya dalam keadaan DAP mengharapkan Lim Kiat Siang menjadi Timbalan Perdana jika Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Orang bukan Melayu dan bukan Islam di negara ini memerlukan lebih banyak manusia seperti Zaid Ibrahim yang lupakan tongkat sekalipun pernah bertongkat.

MUNSYI ABDULLAH

Papan tanda: Kenapa Anwar membisu seribu bahasa?

KOPITIAM TALK
10 November 2008

KETUA Pembangkang Anwar Ibrahim adalah seorang bekas pejuang bahasa, rakan karib kepada penulis dan sasterawan, pencinta dan pembaca sajak, menghayati dan menjiwai hasrat serta semangat pejuang-pejuang Bahasa Kebangsaan di negara ini.

Kejayaannya dalam pilihan raya lalu adalah disokong kuat oleh imejnya sebagai pejuang rakyat dan dengan itu beliau membawa bersamanya tidak sahaja harapan akar umbi bukan Melayu, tetapi perasaan dan hati nurani orang Melayu di akar umbi terutama di Pulau Pinang yang berada dalam perasaan terhina.

Yang ada pun pada orang Melayu di Pulau Pinang ialah simbol-simbol yang mendaulatkan kedudukan mereka seperti masjid dan kedudukan Bahasa Kebangsaan.

Adalah mengejutkan dalam soal yang berkaitan dengan kedaulatan sekalipun hanya merupakan simbol tidak diambil berat oleh beliau. Anwar membisu seribu bahasa terhadap langkah kerajaan Pulau Pinang yang dikuasai oleh DAP untuk memasang tanda pelbagai bahasa di kawasan tapak Warisan di George Town.

Apakah sebagai Ketua Pembangkang beliau tidak mempunyai kuasa untuk menasihatkan sekutunya supaya jangan melakukan sesuatu yang boleh menghakiskan pengaruhnya sendiri (Anwar) di Pulau Pinang?



Tidakkah ini membayangkan sikap beliau sekiranya menjadi Perdana Menteri kelak.

Setelah kejayaan cemerlang parti pembangkang yang menghapuskan kuasa dua pertiga kerajaan Barisan Nasional, Anwar berazam untuk menggulingkan kerajaan BN dan menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Rakyat telah turut serta dalam keghairahan beliau ini dan sekalipun 16 Sepetember telah mencatatkan sejarah hitam dalam karier politiknya sebagai seorang yang tidak dapat menunaikan janjinya kepada mereka, namun sebahagian besar masih mempercayainya..

Sentimen politik, ketaksuban kepada kepimpinan dan kelemahan berfkir secara rasional, terpenaruh dengan karisma pemimpin, telah membutakan mata rakyat terhadap kemungkinan yang akan berlaku kepada kepentigan bangsa, agama dan negara jika Anwar Ibrahim menjadi Pedana Menteri.

Apakah beliau akan dapat mengawal sentimen dan dasar parti-parti yang meletakannya sebagai Ketua Pembangkang atau akan lebih mementingkan untuk membuat penyesuian bagi mengekalkan kuasa.

Tidak ada pejuang bahasa, tidak ada penulis dan sasterawan, tidak ada badan-badan bahasa yang sanggup melihat pencerobohan, penghinaan dan provokasi yang senghaja dilakukan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang untuk mengisi sentimen penyokong-penyokongnya atau untuk kepentingan politik dengan menghina kedudukan Bahasa Kebangsaan.

Anwar Ibrahim seolah-olah langsung tidak merasai perasaan ini yang telah bergegar di seluruh negara termasuk di kalangan ahli-ahli partinnya sendiri..

Terlalu merendahkan taraf pemikirannya jika Anwar Ibrahim dianggap turut percaya dengan strategi DAP meletakkan tulisan jawi untuk menjustifikasikan penggunaan pelbagai bahasa lain di papan tanda di Pulau Pinang. Apakah tulisan rumi yang bersifat tulisan antarabangsa tidak difahami oleh kebanyakan pelawat luar negara yang memahami bahasa Inggeris.

Kenapakah DAP menggunakan tulisan jawi di papan tanda di Pulau Pinang sedangkan seorang anggota Parlimen DAP mahu menghapuskan tuklisan jawi di Bukit Bintang Kuala Lumpuir? Tidakkah ini menghina kemampuan berfikir orang Melayu?

Apakah Anwar Ibrahim membisu kerana beliau percaya kepada matlamat menghalalkan cara?

Semua ini adalah membayangkan kepada orang Melayu tentang dasar dan cara kepimpinan Anwar Ibrahim sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Sebagai seorang Melayu dan Islam, melihat kepada tindak tanduknya terutama selepas pilihan raya, saya yakin bahawa Anwar bijak sebagai seorang seniman jalanan untuk mencapai matlamat dengan menghalalkan cara tetapi dalam jangka masa cara dihalalkan, banyak sudah matlamat dan maruah yang berkaitan dengan dasar nasional dan keagamaan dihancurkan..

Saya bersukur Anwar Ibrahim tidak menjadi Perdana Menteri pada 16 September 2008.

MUNSYI ABDULLAH