Sunday, November 22, 2009

AHLI POLITIK DAN MEDIA YANG TAK BERPERIKEMANUSIAAN.


Apa juga kejadian yang boleh membakar perasaan perkauman akan disambar dengan pantas dan rakus oleh anggota pembangkang bukan Melayu dan juga akhbar akhbar berbahasa Cina terutamanya Sin Chew Jit Poh untuk dijadikan isu yang boleh menampakkan ketidakadilan dan kekejaman kerajaan terhadap bukan Melayu.

Malah dalam hal ini penjenayah yang terang terang mengancam kehidupan rakyat setiap hari pun dibela oleh mereka untuk memperlihatkan kekejaman polis dan penginayaan terhadap penjenayah. Bagaimanapun mata mereka menjadi buta apabila seorang pemuda Melayu yang bukan penjenayah tertembak mati oleh polis yang tidak cekap di Kedah baru baru ini.

Perbandingan ini dapat dibuat dalam kes perompak Surenthiran 24 tahun yang ditembak mati oleh polis dalam suatu kejadian tembak menembak dengan polis dan beberapa kes seumpamanya sebelum ini.

Kes seorang pemuda Melayu yang mengamuk di Kedah yang mati tertembak dibahagian atas badannya sekalipun didakwa oleh polis ditujukan kekaki adalah suatu kes yang sangat serius yang tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Hishamuddin Hussein sekiranya beliau benar benar menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan rakyat. Setakat ini beliau tidak bersuara apapun seolah oleh polis benar.

Kematian Penjenayah Surenthiran telah diberikan publisiti yang meluas oleh akhbar akhhar The Sun, The Star , Tamil Nissan dan akhbar akhbar Cina, Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pau danTamil Nissan yang mempersoalkan menerusi berita mereka tentang kewajaran tembakan terhadapnya.

Bila kakak Surenthiran, R.Seetha membunuh diri dengan meminum racun lalang, presentasi berita mereka adalah sekata seolah olah tindakannya itu kerana ketidakadilan polis yang juga telah mengambil suaminya untuk siasatan . Seetha juga cuba membunuh keempat empat orang anaknya dengan memberikan mereka minum racun yang sama.

Apabila Seetha mati, akhbar akhbar tersebut memberikan laporan besar besaran terhadap rancangan Penaja Parti Hak Manusia Uthayakumr, Anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam dan M.Manoharan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah hendak membawa mayat Seetha ke Parlimen.

Bagaimanapun satu tamparan kepada mereka apabila keluarga R.Seetha menyatakan bahawa mereka tidak pernah berniat untuk menjadikan perbuatan Seetha itu sebagai isu politik. Bapa mertuanya V. Muniandy menyatakan Seetha telah meningalkan sekeping surat yang menyatakan bahwa dia meminum racun lalang atas kehendaknya sendiri.

Sebenarnya akhbar akhbar Sin Chew, Nanyang , The Star dan The Sun bukanlah suara kepada rakyat yang tertindas dan teranianya oleh perbuatan kejam, ganas dan zalim perompak , pencuri, perogol, peragut dan sebagainya tetapi mereka adalah suara kepada penjenayah termasuk yang wujud di dalam parti parti pembangkang sendiri.

Pengarang pengarang akhbar ini tidak sedar bahawa kita sebenarnya berada didalam keadaan “Jenayah Darurat” yang lebih dahsat dari keganasan pengganas komunis sendiri dalam masa darurat dahulu di negara ini.

Kenapa akhbar akhbar ini tidak tidak pergi menemu ramah keluarga atau anak isteri mereka yang telah menjadi mangsa rompakan, perogolan, pencolekan dan sebagainya. Kenapa mereka tidak pergi menemui keluarga bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia ( MBAM) Patrcik Wong Kie Yik yang mati kerana cuba lari dari perompak baru baru ini ?

Pihak polis tidak seharusnya mengambil hati diatas sikap sesetengah media dan juga seorang dua anggota pembangkang yang “ tidak berperi kemanusian” sebaliknya mesti meneruskan tugas mereka dengan gagah, berani dan tegas sebagai patriot tanah air. Kejayaan anda semua yang berulang kali akhir akhir ini adalah mendapat sokongan dan sanjungan dari rakyat terbanyak.

Hanya sayangnya awak semua mempunyai seorang Menteri Dalam Negeri yang lemah yang gagal untuk mengajar dan memberhentikan sikap media yang kurang ajar terhadap polis, yang gagal untuk melihat bahawa perbuatan mereka menghasut rakyat bersikap prejudis dan membenci polis adalah sebenarnya mengapikan perasaan perkauman yang akhirnya akan membangkitkan rakyat yang marah untuk melakukan perbuatan jenayah yang lebih besar di negara ini.




Wednesday, August 26, 2009

DAP KAFIRKAN PAS DAN MEMBAWA PAS KE NERAKA


Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib berhubung dengan penangguhan hukuman sebat keatas Kartika Seri Dewi Shukarnor yang menunjukan sokongannya tentunya mengundang kecaman dari Pas dan pihak pihak yang tidak bersikap rasional.

Najib berpendapat hukuman secara fizikal merupakan langkah terakhir dalam melaksanakan undang-undang jenayah syariah terutama terhadap pesalah wanita. Katanya , Islam lebih mengutamakan tarbiah secara berhemah terhadap pesalah terbabit supaya mereka lebih sedar dengan kesalahan yang dilakukan. Rasa simpati, belas kasihan serta tarbiah merupakan intipati di dalam Islam dan itu yang diamalkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW, katanya.

Pentafsiran rasional oleh pemimpin parti Barisan Nasonal itu yang dulunya Perikatan adalah penerusan sikap UMNO yang telah sekian lama menjadi pemisahan antara identiti UMNO dengan Pas .
Sikap inilah yang menyebabkan UMNO di hormati oleh parti parti komponennya dan mengekalkan kerjasama antara mereka.
Bagaimanapun tidak dinafikan sikap UMNO ini tidak lagi dihargai oleh generasi baru Cina malah di kalangan MCA sendiri sejak berlakunya perubahan sikap orang Cina dalam Pilihanraya Umum 2008. Kegilaan kepada kuasa telah membutakan mata mereka terhadap bahaya berkawan dengan parti pelampau Islam.

Maka itu timbullah krisis dalaman yang menampakan kecelaruan dalam pakatan pembangkang dan menimbulkan keraguan apakah mereka dapat berkerjasama untuk kestabilan dan kesejahteraan rakyat jika berkuasa di peringkat nasional kelak.
Di Selangor umpamanya kita telah dapat melihat krisis antara Pas dengan DAP dan PKR dalam perlaksanaan pengharaman penjualan arak di kawasan yang majoritinya orang Islam yang pada akhirnya menampakan tolak ansur Pas kepada DAP.

Selain dari itu pembinaan kuil Hindu yang tidak pernah menyerlahkan krisis antara UMNO dan MIC sebaliknya diatasi secara aman sekarang telah mengocak perasaan harmoni antara kaum dan lebih menampakan kekalahan orang Islam tetapi kerajaan Selangor yang dianggotai oleh Pas tidak dapat berbuat apa apa.


Orang Islam amat tersentuh dengan hasrat untuk meneruskan pembinaan kuil itu sehingga akan berlakunya tunjuk perasaan besar besaran Badan Betindak Penduduk Seksyen 23 dengan Gabungan Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia pada Jumaat ini di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor di Shah Alam.


Lebih buruk lagi apabila sebelum ini anggota Wanita Dewan Undangan Negeri dari PKR bersama dengan Mursyidul Pas Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan telah mempertahankan sebagai hak individu apabila seorang wanita ADUN Selangor berbogel dan berkhalwat dengan seorang Melayu. Mereka lupa bahawa apabila sesaorang itu telah menjadi pemimpin masyarakat atau selebriti maka dia adalah terdedah kepada hukuman awam.


Sikap melampau Pas di masa lalu telah menampakan parti itu berada dalam kesesatan sekarang ini apabila dari masa kemasa sejak berkawan dengan DAP dan PKR ia telah menjustifikasikan semua perbuatan yang dicacinya di masa lalu, telah menjilat ludahnya sendiri dan telah sanggup menghalalkan yang haram.

Sikap Datuk Seri Najib dalam menyokong penangguhan hukuman sebat terhadap Kartika Sari Dewi atas kesalahan minum arak untuk memberi peluang kepada Hakim Syarie Pahang menyemak semula hukuman itu tidaklah seharusnya mengejutkan mana mana pihak kerana itulah imej Islam UMNO dari sejak zaman Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman.



Kes Kartika Sari Dewi telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa samaada Malaysia akan mengamalkan konservatisme atau dogmatik Islam seperti Arab Saudi atau Taliban atau akan meneruskan sikap kesederhanaan Islam yang menjadi wajah manis Malaysia sejak merdeka. Dengan wajah Islam yang lembut inilah Malaysia telah mendapat penghormatan dunia dan bukan Islam sehingga ia menjadi negara Islam contoh.

Bagaimanapun jika Pas yang memberikan tolak ansur seperti ini yang telahpun terlihat sejak berkawan dengan PKR dan Pas, nyatalah ia telah menyeleweng dari dasarnya, hipoktrit, lidah bercabang dan tidak bermoral.
Dasar dasar UMNO tidak berjaya merasionalisasikan sikap PAS tetapi akhirnya DAP yang dapat mengkafirkan PAS dan akan membawa PAS ke neraka.