Sunday, November 22, 2009

AHLI POLITIK DAN MEDIA YANG TAK BERPERIKEMANUSIAAN.


Apa juga kejadian yang boleh membakar perasaan perkauman akan disambar dengan pantas dan rakus oleh anggota pembangkang bukan Melayu dan juga akhbar akhbar berbahasa Cina terutamanya Sin Chew Jit Poh untuk dijadikan isu yang boleh menampakkan ketidakadilan dan kekejaman kerajaan terhadap bukan Melayu.

Malah dalam hal ini penjenayah yang terang terang mengancam kehidupan rakyat setiap hari pun dibela oleh mereka untuk memperlihatkan kekejaman polis dan penginayaan terhadap penjenayah. Bagaimanapun mata mereka menjadi buta apabila seorang pemuda Melayu yang bukan penjenayah tertembak mati oleh polis yang tidak cekap di Kedah baru baru ini.

Perbandingan ini dapat dibuat dalam kes perompak Surenthiran 24 tahun yang ditembak mati oleh polis dalam suatu kejadian tembak menembak dengan polis dan beberapa kes seumpamanya sebelum ini.

Kes seorang pemuda Melayu yang mengamuk di Kedah yang mati tertembak dibahagian atas badannya sekalipun didakwa oleh polis ditujukan kekaki adalah suatu kes yang sangat serius yang tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Hishamuddin Hussein sekiranya beliau benar benar menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan rakyat. Setakat ini beliau tidak bersuara apapun seolah oleh polis benar.

Kematian Penjenayah Surenthiran telah diberikan publisiti yang meluas oleh akhbar akhhar The Sun, The Star , Tamil Nissan dan akhbar akhbar Cina, Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pau danTamil Nissan yang mempersoalkan menerusi berita mereka tentang kewajaran tembakan terhadapnya.

Bila kakak Surenthiran, R.Seetha membunuh diri dengan meminum racun lalang, presentasi berita mereka adalah sekata seolah olah tindakannya itu kerana ketidakadilan polis yang juga telah mengambil suaminya untuk siasatan . Seetha juga cuba membunuh keempat empat orang anaknya dengan memberikan mereka minum racun yang sama.

Apabila Seetha mati, akhbar akhbar tersebut memberikan laporan besar besaran terhadap rancangan Penaja Parti Hak Manusia Uthayakumr, Anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam dan M.Manoharan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah hendak membawa mayat Seetha ke Parlimen.

Bagaimanapun satu tamparan kepada mereka apabila keluarga R.Seetha menyatakan bahawa mereka tidak pernah berniat untuk menjadikan perbuatan Seetha itu sebagai isu politik. Bapa mertuanya V. Muniandy menyatakan Seetha telah meningalkan sekeping surat yang menyatakan bahwa dia meminum racun lalang atas kehendaknya sendiri.

Sebenarnya akhbar akhbar Sin Chew, Nanyang , The Star dan The Sun bukanlah suara kepada rakyat yang tertindas dan teranianya oleh perbuatan kejam, ganas dan zalim perompak , pencuri, perogol, peragut dan sebagainya tetapi mereka adalah suara kepada penjenayah termasuk yang wujud di dalam parti parti pembangkang sendiri.

Pengarang pengarang akhbar ini tidak sedar bahawa kita sebenarnya berada didalam keadaan “Jenayah Darurat” yang lebih dahsat dari keganasan pengganas komunis sendiri dalam masa darurat dahulu di negara ini.

Kenapa akhbar akhbar ini tidak tidak pergi menemu ramah keluarga atau anak isteri mereka yang telah menjadi mangsa rompakan, perogolan, pencolekan dan sebagainya. Kenapa mereka tidak pergi menemui keluarga bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia ( MBAM) Patrcik Wong Kie Yik yang mati kerana cuba lari dari perompak baru baru ini ?

Pihak polis tidak seharusnya mengambil hati diatas sikap sesetengah media dan juga seorang dua anggota pembangkang yang “ tidak berperi kemanusian” sebaliknya mesti meneruskan tugas mereka dengan gagah, berani dan tegas sebagai patriot tanah air. Kejayaan anda semua yang berulang kali akhir akhir ini adalah mendapat sokongan dan sanjungan dari rakyat terbanyak.

Hanya sayangnya awak semua mempunyai seorang Menteri Dalam Negeri yang lemah yang gagal untuk mengajar dan memberhentikan sikap media yang kurang ajar terhadap polis, yang gagal untuk melihat bahawa perbuatan mereka menghasut rakyat bersikap prejudis dan membenci polis adalah sebenarnya mengapikan perasaan perkauman yang akhirnya akan membangkitkan rakyat yang marah untuk melakukan perbuatan jenayah yang lebih besar di negara ini.




Wednesday, August 26, 2009

DAP KAFIRKAN PAS DAN MEMBAWA PAS KE NERAKA


Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib berhubung dengan penangguhan hukuman sebat keatas Kartika Seri Dewi Shukarnor yang menunjukan sokongannya tentunya mengundang kecaman dari Pas dan pihak pihak yang tidak bersikap rasional.

Najib berpendapat hukuman secara fizikal merupakan langkah terakhir dalam melaksanakan undang-undang jenayah syariah terutama terhadap pesalah wanita. Katanya , Islam lebih mengutamakan tarbiah secara berhemah terhadap pesalah terbabit supaya mereka lebih sedar dengan kesalahan yang dilakukan. Rasa simpati, belas kasihan serta tarbiah merupakan intipati di dalam Islam dan itu yang diamalkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW, katanya.

Pentafsiran rasional oleh pemimpin parti Barisan Nasonal itu yang dulunya Perikatan adalah penerusan sikap UMNO yang telah sekian lama menjadi pemisahan antara identiti UMNO dengan Pas .
Sikap inilah yang menyebabkan UMNO di hormati oleh parti parti komponennya dan mengekalkan kerjasama antara mereka.
Bagaimanapun tidak dinafikan sikap UMNO ini tidak lagi dihargai oleh generasi baru Cina malah di kalangan MCA sendiri sejak berlakunya perubahan sikap orang Cina dalam Pilihanraya Umum 2008. Kegilaan kepada kuasa telah membutakan mata mereka terhadap bahaya berkawan dengan parti pelampau Islam.

Maka itu timbullah krisis dalaman yang menampakan kecelaruan dalam pakatan pembangkang dan menimbulkan keraguan apakah mereka dapat berkerjasama untuk kestabilan dan kesejahteraan rakyat jika berkuasa di peringkat nasional kelak.
Di Selangor umpamanya kita telah dapat melihat krisis antara Pas dengan DAP dan PKR dalam perlaksanaan pengharaman penjualan arak di kawasan yang majoritinya orang Islam yang pada akhirnya menampakan tolak ansur Pas kepada DAP.

Selain dari itu pembinaan kuil Hindu yang tidak pernah menyerlahkan krisis antara UMNO dan MIC sebaliknya diatasi secara aman sekarang telah mengocak perasaan harmoni antara kaum dan lebih menampakan kekalahan orang Islam tetapi kerajaan Selangor yang dianggotai oleh Pas tidak dapat berbuat apa apa.


Orang Islam amat tersentuh dengan hasrat untuk meneruskan pembinaan kuil itu sehingga akan berlakunya tunjuk perasaan besar besaran Badan Betindak Penduduk Seksyen 23 dengan Gabungan Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia pada Jumaat ini di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor di Shah Alam.


Lebih buruk lagi apabila sebelum ini anggota Wanita Dewan Undangan Negeri dari PKR bersama dengan Mursyidul Pas Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan telah mempertahankan sebagai hak individu apabila seorang wanita ADUN Selangor berbogel dan berkhalwat dengan seorang Melayu. Mereka lupa bahawa apabila sesaorang itu telah menjadi pemimpin masyarakat atau selebriti maka dia adalah terdedah kepada hukuman awam.


Sikap melampau Pas di masa lalu telah menampakan parti itu berada dalam kesesatan sekarang ini apabila dari masa kemasa sejak berkawan dengan DAP dan PKR ia telah menjustifikasikan semua perbuatan yang dicacinya di masa lalu, telah menjilat ludahnya sendiri dan telah sanggup menghalalkan yang haram.

Sikap Datuk Seri Najib dalam menyokong penangguhan hukuman sebat terhadap Kartika Sari Dewi atas kesalahan minum arak untuk memberi peluang kepada Hakim Syarie Pahang menyemak semula hukuman itu tidaklah seharusnya mengejutkan mana mana pihak kerana itulah imej Islam UMNO dari sejak zaman Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman.



Kes Kartika Sari Dewi telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa samaada Malaysia akan mengamalkan konservatisme atau dogmatik Islam seperti Arab Saudi atau Taliban atau akan meneruskan sikap kesederhanaan Islam yang menjadi wajah manis Malaysia sejak merdeka. Dengan wajah Islam yang lembut inilah Malaysia telah mendapat penghormatan dunia dan bukan Islam sehingga ia menjadi negara Islam contoh.

Bagaimanapun jika Pas yang memberikan tolak ansur seperti ini yang telahpun terlihat sejak berkawan dengan PKR dan Pas, nyatalah ia telah menyeleweng dari dasarnya, hipoktrit, lidah bercabang dan tidak bermoral.
Dasar dasar UMNO tidak berjaya merasionalisasikan sikap PAS tetapi akhirnya DAP yang dapat mengkafirkan PAS dan akan membawa PAS ke neraka.

Thursday, November 13, 2008

Mahathir Pura-pura Tidak Tahu

KOPITIAM TALK
12 November 2008

MANTAN Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun pura-pura bertanya bagaimanakah Datuk Zaid Ibrahim termasuk dalam golongan peguam yang berpendapatan lumayan di negara ini sedangkan beliau tidak pernah membaca berita Zaid mempertahankan mana-mana kes jenayah yang bayaran guamannya besar..

Lalu Mahathir menyatakan kemungkinan pendapatan Zaid itu daripada menjalankan urusan berkaitan dengan kes-kes penswastaan kerajaan dan lain-lain keperluan “conveyancing” kerajaan. Masakan selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, Mahathir tidak tahu yang sebenarnya.

Tun Mahathir telah mengulas kenyataan Zaid yang mempertahankan bayaran ex-gratia RM5 juta kepada bekas ketua hakim negara kerana dibandingkan dengan pendapatan peguam terkemuka pun mencecah RM2 juta setahun.

Zahid telah mengusahakan pembayaran itu dengan restu Perdana Menteri Datuk Abdullah Badawi dalam konspirasi mereka untuk membalas dendam terhadap Mahathir.

Sebenarnya bukan semua firma guaman Melayu yang berpendapatan dua juta ringgit setahun kecuali firma-firma yang mempunyai cable dengan kerajaan. Zaid tidak mungkin mendapat peluang-peluang kerja guaman dari kerajaan jika beliau bukan orang UMNO.

Bagaimanapun setelah meletakkan jawatan Menteri, Zaid menyatakan “Ketuanan Melayu” tidak perlu.

Keadaan sama seperti Tun Mahahtir sendiri yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun menerusi tiket UMNO, tetapi kemudian hentam UMNO dan meninggalkan UMNO kerana marahkan Abdullah. Marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Bezanya ialah Zaid sekalipun masih berada dalam UMNO, tetapi menggambarkan dirinya bukan orang UMNO. Mahathir pula sesudah keluar UMNO, tetap berdarah sejati UMNO, tidak lupa daratan dan tidak lupa ketuanan.

Zaid marahkan UMNO dan Mahathir kerana penyingkiran Anwar Ibrahim dari UMNO yang dengan itu melibatkan juga masa depan politiknya.

Bagaimanapun Perdana Menteri Abdullah telah memberikan semula tempat kepadanya atas nasihat menantunya Khairy, anaknya Kamaruddin dan beberapa orang lagi di `tingkat empat' untuk menjalankan misi khas tetapi ternyata senjata menikam diri. Apabila sesaorang yang dilantik tanpa berasaskan kepada akar umbi maka dia tidak memahami perasaan ramai.

Apabila Zaid membuat kenyataan-kenyataan yang melupakan asal usulnya setelah meletakkan jawatan sehingga ke tahap tidak dapat melihat faedah Ketuanan Melayu maka ternyatalah bahawa Abdullah Badawi telah melakukan satu lagi kesilapan politik besar yang menambah kemarahan orang kepadanya.

Perlu disebutkan bahawa Zaid juga adalah salah seorang pengasas Majlis Peguam Islam dengan tujuan untuk mencari populariti politik di kalangan orang Islam di negara ini ketika beliau memulakan karier politiknya..

Mungkin sekarang beliau juga berfikir tidak perlu lagi majlis itu baginya kerana tanpa Islam pun, dengan segala kekayaannya dia tidak sahaja boleh hidup di kalangan orang Islam tetapi boleh diterima dengan baik oleh kaum India dan Cina yang tidak beragama Islam.

Taraf pemikiran liberalnya adalah sejalan dengan Pak Lah yang nampak bahawa orang bukan Melayu pun berpeluang menjadi Perdana Menteri Malaysia berikutan dengan kemenangan keturunan kulit hitam Barack Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Cuma Perdana Menteri Singapura Hsien Loong agak ketinggalan tetapi realistik apabila beliau tidak nampak orang Melayu boleh menjadi Perdana Menteri Singapura untuk suatu jangka waktu yang lama. Tetapi Pak Lah membarakan harapan perkara itu kerana beliau menyatakannya dalam keadaan DAP mengharapkan Lim Kiat Siang menjadi Timbalan Perdana jika Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Orang bukan Melayu dan bukan Islam di negara ini memerlukan lebih banyak manusia seperti Zaid Ibrahim yang lupakan tongkat sekalipun pernah bertongkat.

MUNSYI ABDULLAH

Papan tanda: Kenapa Anwar membisu seribu bahasa?

KOPITIAM TALK
10 November 2008

KETUA Pembangkang Anwar Ibrahim adalah seorang bekas pejuang bahasa, rakan karib kepada penulis dan sasterawan, pencinta dan pembaca sajak, menghayati dan menjiwai hasrat serta semangat pejuang-pejuang Bahasa Kebangsaan di negara ini.

Kejayaannya dalam pilihan raya lalu adalah disokong kuat oleh imejnya sebagai pejuang rakyat dan dengan itu beliau membawa bersamanya tidak sahaja harapan akar umbi bukan Melayu, tetapi perasaan dan hati nurani orang Melayu di akar umbi terutama di Pulau Pinang yang berada dalam perasaan terhina.

Yang ada pun pada orang Melayu di Pulau Pinang ialah simbol-simbol yang mendaulatkan kedudukan mereka seperti masjid dan kedudukan Bahasa Kebangsaan.

Adalah mengejutkan dalam soal yang berkaitan dengan kedaulatan sekalipun hanya merupakan simbol tidak diambil berat oleh beliau. Anwar membisu seribu bahasa terhadap langkah kerajaan Pulau Pinang yang dikuasai oleh DAP untuk memasang tanda pelbagai bahasa di kawasan tapak Warisan di George Town.

Apakah sebagai Ketua Pembangkang beliau tidak mempunyai kuasa untuk menasihatkan sekutunya supaya jangan melakukan sesuatu yang boleh menghakiskan pengaruhnya sendiri (Anwar) di Pulau Pinang?



Tidakkah ini membayangkan sikap beliau sekiranya menjadi Perdana Menteri kelak.

Setelah kejayaan cemerlang parti pembangkang yang menghapuskan kuasa dua pertiga kerajaan Barisan Nasional, Anwar berazam untuk menggulingkan kerajaan BN dan menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Rakyat telah turut serta dalam keghairahan beliau ini dan sekalipun 16 Sepetember telah mencatatkan sejarah hitam dalam karier politiknya sebagai seorang yang tidak dapat menunaikan janjinya kepada mereka, namun sebahagian besar masih mempercayainya..

Sentimen politik, ketaksuban kepada kepimpinan dan kelemahan berfkir secara rasional, terpenaruh dengan karisma pemimpin, telah membutakan mata rakyat terhadap kemungkinan yang akan berlaku kepada kepentigan bangsa, agama dan negara jika Anwar Ibrahim menjadi Pedana Menteri.

Apakah beliau akan dapat mengawal sentimen dan dasar parti-parti yang meletakannya sebagai Ketua Pembangkang atau akan lebih mementingkan untuk membuat penyesuian bagi mengekalkan kuasa.

Tidak ada pejuang bahasa, tidak ada penulis dan sasterawan, tidak ada badan-badan bahasa yang sanggup melihat pencerobohan, penghinaan dan provokasi yang senghaja dilakukan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang untuk mengisi sentimen penyokong-penyokongnya atau untuk kepentingan politik dengan menghina kedudukan Bahasa Kebangsaan.

Anwar Ibrahim seolah-olah langsung tidak merasai perasaan ini yang telah bergegar di seluruh negara termasuk di kalangan ahli-ahli partinnya sendiri..

Terlalu merendahkan taraf pemikirannya jika Anwar Ibrahim dianggap turut percaya dengan strategi DAP meletakkan tulisan jawi untuk menjustifikasikan penggunaan pelbagai bahasa lain di papan tanda di Pulau Pinang. Apakah tulisan rumi yang bersifat tulisan antarabangsa tidak difahami oleh kebanyakan pelawat luar negara yang memahami bahasa Inggeris.

Kenapakah DAP menggunakan tulisan jawi di papan tanda di Pulau Pinang sedangkan seorang anggota Parlimen DAP mahu menghapuskan tuklisan jawi di Bukit Bintang Kuala Lumpuir? Tidakkah ini menghina kemampuan berfikir orang Melayu?

Apakah Anwar Ibrahim membisu kerana beliau percaya kepada matlamat menghalalkan cara?

Semua ini adalah membayangkan kepada orang Melayu tentang dasar dan cara kepimpinan Anwar Ibrahim sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Sebagai seorang Melayu dan Islam, melihat kepada tindak tanduknya terutama selepas pilihan raya, saya yakin bahawa Anwar bijak sebagai seorang seniman jalanan untuk mencapai matlamat dengan menghalalkan cara tetapi dalam jangka masa cara dihalalkan, banyak sudah matlamat dan maruah yang berkaitan dengan dasar nasional dan keagamaan dihancurkan..

Saya bersukur Anwar Ibrahim tidak menjadi Perdana Menteri pada 16 September 2008.

MUNSYI ABDULLAH

Sunday, October 12, 2008

Tiga Exco PKR berbalah isu kuil

NAMANYA saja Pakatan Rakyat tetapi sebenarnya gabungan pembangkang ini asyik bertelagah bukan setakat di kalangan pemimpin malah penyokong mereka sekali.

Apa yang lebih dahsyat lagi adalah perbalahan dan pertengkaran itu bukannya di dalam mesyuarat tertutup sebaliknya secara terbuka iaitu di dalam media terutama akhbar harian.

Terbaru tiga Exco Parti Keadilan Rakyat (PKR) saling membuat kenyataan bertentangan dan menuduh satu sama lain mengenai satu isu – kuil Sri Maha Kalliaman di Ampang Tasik, Selangor.

Ini diikuti pula oleh penyokong Parti Islam SeMalaysia (Pas) yang memasang sepanduk di kawasan Keramat dekat Ampang yang tidak mahu isu kuil diketengahkan.

Pas tetap dengan perjuangannya iaitu mahu hukum Hudud diperkenal dan dilaksanakan bagi penduduk Islam. Sepanduk mereka berbunyi “Kami Mahu Hudud bukan Kuil”.

Kekalutan di kalangan pemimpin PKR semakin teruk apabila timbul pula isu patung Datuk Seri Anwar Ibrahim setintgi 12.2 meter yang didirikan di depan Wisma Keringat, Batu Caves.

Kalangan ahli Pas dan tentunya Mufti Perlis menolak sama sekali sikap mendewa-dewakan Anwar sehingga membina replika beliau itu malah Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan ahli dan pemimpin PKR itu membawa unsur keberhalaan dan perlu dihapuskan segera.

Menurut akhbar Sinar Harian, Isnin lalu, tindakan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu menggantung tugas Timbalan Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Abdul Hamid Hussein berkaitan isu kuil berkenaan telah dipersoal Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar A Samad.

Iskandar berpendapat adalah tidak wajar bagi Ronnie membuat keputusan menggantung tugas Hamid kerana sepatutnya perkara ini dibuat secara kolektif dan bukannya berdasarkan pandangan sesetengah pihak saja.

Malah menurut Iskandar berikutan sikapnya yang mempertikaikan tindakan Ronnie itu beliau menerima banyak sokongan daripada pengundi dan orang ramai yang kesal dengan langkah terburu-buru Ronnie itu.

Bantahan Iskandar dan orang ramai itu terus mendapat perhatian dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar menyindir dengan berkata setiap Exco seharusnya menjaga bidang tugas masing-masing.

Pokoknya Ronnie mahu menjaga kepentingan siapa? Begitu juga Xavier dan juga Iskandar. Agaknya bagaimana mereka ini menghadiri mesyuarat Exco. Apakah setiap seorang akan bermasam muka di depan Menteri Besar ?

Laporan awal MPAJ menunjukkan kuil itu dibina di tanah rizab hutan di Ampang. Ada kalangan berkata surat peringatan dan arahan pindah sudah lama dikeluarkan.

Bagi menjaga hati pengundi MB dikatakan dengan segera menubuhkan jawatankuasa khas yang akan mencari tempat ganti bagi membina semula kuil dirobohkan itu.

Hamid yang digantung tugas atas dakwaan membenarkan tindakan diambil terhadap kuil itu pula dilaporkan bercuti raya dan tidak tahu mengenai apa berlaku itu.

Sedang isu kuil itu agak hangat tiba-tiba pula timbul kisah majlis perasmian patung Anwar di Batu Caves dihadiri oleh Adun kawasan itu, Amirudin Shari, Ahli Parlimen Kapar S Manikawasagam, R Sivarasah (Subang) dan William Leong (Selayang).

Dr Asri dalam ulasan beliau turut menekankan, pembinaan patung itu tetap haram kerana ia meniru perbuatan musyrikin dan perbuatan syirik yang jelas.

Wednesday, October 8, 2008

SIKAP STAR TERHADAP PENCEROBOHAN MAJLIS TERBUKA HARI RAYA PERDANA MENTERI.

Tidak ada kutukan dari akhbar The STAR terhadap tindakan Hindraf menceroboh Majlis Terbuka Hari Raya Perdana Menteri di PWTC baru baru ini malah berita mengenainya di tekan, diperekcil perkecilkan oleh akhbar ini, tidak di besar besarkan seperti ia membesarkan pencerobohan terhadap kuil Hindu,penahanan Tressa Kok dan wartawan akhbar Sin Chew Daily atau pemusnahan kawasan pertanian haram orang Cina..

Pencerobohan terhadap hari kemuliaan Islam itu tidak kurang sensitifnya kepada orang Melayu yang beragama Islam di Malaysia.

The Star yang mendakwa sebagai akhbar nasional dan suara rakyat secara bijak mempromokan isu isu bersifat perkauman bukan Melayu. Baginya sesuatu masalah atau isu mengenai kepentingan Melayu bukan isu nasional. Bagi STAR pencerobohan terhadap Majlis Hari Raya orang Islam tidak ada nilai kepentingan keselamatan negara dan maruah nasional.

Bayangkan bagaimana layanan berita yang akan diberikan oleh The STAR kalau orang Melayu pergi menyembelih lembu di majlis Deepavali.

Tidak ada rakyat Malaysia yang rasional yang merastukan apa yang dilakukan oleh Hindraf pada hari kemuliaan orang Islam tetapi STAR menjadi tidak rasional bila melihat isu kepentingan agama Islam. Benar kata bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir bahawa isu isu sensitif kepada orang Melayu bila dihebohkan oleh orang Melayu dianggap sebagai racis tetapi perjuangan perkauman bukan Melayu dianggap sebagai isu nasional.

Akhbar ini adalah akhbar yang dikuasai oleh MCA. Presidennya Ong Ka Ting cukup cepat menunjukan akhbar akhbar Melayu sebagai perkauman bila membangkitkan pencerobohan terhadap sosial kontrak tetapi dia tidak dapat melihat bagaimana akhbarnya sendiri melanggar dasar dasar yang menjadi asas kepada perpaduan nasional.

Kita ingin bertanya kenapa The STAR membisu seribu bahasa terhadap tindakan Hindraf menajiskan Majlis Hari Raya Idilfitri yang diberikan oleh Perdana Menteri?.Kenapa STAR memperkecilkan pekara ini?

Pada zaman pemerentahan Tun Mahatir akhbar ini telah menjalankan jarum perkaumannya dengan menggunakan bekas Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman sebagai perisainya tetapi akhirnya kerajaan terpaksa menggantung pengedarannya beberapa bulan kerana mengapikan isu perkauman. Berikutan dengan itu anggota anggota jabatan pengarangnya bertempiaran lari ke Hong Kong,Singapura dan Amerika.

Pada masa itu timbul cadangan untuk orang Melayu mengambilalih The STAR tetapi rancangan ini dibatalkan kerana sifat sifat toleransi UMNO dan Kerajaan.

Bagaimanapun keadaan ini menjadi lebih buruk dalam masa pemerentahan Abdullah Badawi. Satu satunya akhbar Inggeris yang masih di miliki oleh UMNO iaitu NST telah dibiarkan dikuasai oleh orang orang India yang kuat Hindunismenya. Beberapa orang Melayu diberikan kedudukan penting dalam jabatan pengarang NST tetapi mereka hanya menjadi boneka kepada orang India yang beragama Hindu dan juga keturunan India Islam.

Sebenarnya tidak ada lagi akhbar perdana Bahasa Inggeris di Malaysia yang menjadi suara berani orang Melayu. Nasionalisme dan idealisme yang cuba dibangunkan oleh Tan Sri Samad Ismail setelah berjaya me Malaysianise kan NST telah hancur samasekali.

Abdullah Badawi telah menyempurnakan kehancuran ini.

MUNSYI ABDULLAH.

Saturday, September 27, 2008

DAP MARAH MESYUARAT TERGEMPAR MT TENTUKAN MASA DEPAN PAK LAH.

DAP MARAH MESYUARAT TERGEMPAR MT TENTUKAN MASA DEPAN PAK LAH.

Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam blognya telah mengecam UMNO kerana sanggup mengadakan mesyuarat tergempar MT Jumaat lalu untuk membincangkan masa depan kepimpinan Abdullah Badawi tetapi tidak ada masa untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan krisis keyakinan yang dihadapi oleh negara sejak lepas pilihanraya lalu.

Beliau seolah olah menafikan bahawa kepimpinan Abdullah Badawi ada kena mengenai dengan krisis keyakinan yang dihadapi oleh rakyat dan negara sekarang ini.

Ataupun beliau senghaja menafikan realiti ini kerana bagi Pakatan Pembangkang semakin lama Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri semakin bebas untuk mereka menyalakan krisis keyakinan dengan menyalahgunakan kebebasan, melanggar tatasusila negara, akta hasutan dan kontrak sosial.

Tidak ada isu lain yang lebih berkesan bagi mereka untuk memenangi pilihanraya kecuali dengan meniupkan api kemarahan rakyat. Kebebasan yang diberikan oleh Abdullah telah memakan dirinya sendiri.

Adalah harapan Pakatan Pembangkang untuk Abdullah Badawi terus menjadi Perdana Menteri kerana dengan itu akan semakin terhadapus keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Kit Siang pura pura buat tak tahu.

Dengan pengunduran Abdullah Badawi kelak akan bermulalah krisis keyakinan dikalangan pembangkang dan mimpi mereka untuk menawan negara pada pilihanraya ke 13 tidak akan menjadi realiti.


MUNSYI ABDULLAH