Sunday, October 12, 2008

Tiga Exco PKR berbalah isu kuil

NAMANYA saja Pakatan Rakyat tetapi sebenarnya gabungan pembangkang ini asyik bertelagah bukan setakat di kalangan pemimpin malah penyokong mereka sekali.

Apa yang lebih dahsyat lagi adalah perbalahan dan pertengkaran itu bukannya di dalam mesyuarat tertutup sebaliknya secara terbuka iaitu di dalam media terutama akhbar harian.

Terbaru tiga Exco Parti Keadilan Rakyat (PKR) saling membuat kenyataan bertentangan dan menuduh satu sama lain mengenai satu isu – kuil Sri Maha Kalliaman di Ampang Tasik, Selangor.

Ini diikuti pula oleh penyokong Parti Islam SeMalaysia (Pas) yang memasang sepanduk di kawasan Keramat dekat Ampang yang tidak mahu isu kuil diketengahkan.

Pas tetap dengan perjuangannya iaitu mahu hukum Hudud diperkenal dan dilaksanakan bagi penduduk Islam. Sepanduk mereka berbunyi “Kami Mahu Hudud bukan Kuil”.

Kekalutan di kalangan pemimpin PKR semakin teruk apabila timbul pula isu patung Datuk Seri Anwar Ibrahim setintgi 12.2 meter yang didirikan di depan Wisma Keringat, Batu Caves.

Kalangan ahli Pas dan tentunya Mufti Perlis menolak sama sekali sikap mendewa-dewakan Anwar sehingga membina replika beliau itu malah Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan ahli dan pemimpin PKR itu membawa unsur keberhalaan dan perlu dihapuskan segera.

Menurut akhbar Sinar Harian, Isnin lalu, tindakan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu menggantung tugas Timbalan Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Abdul Hamid Hussein berkaitan isu kuil berkenaan telah dipersoal Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar A Samad.

Iskandar berpendapat adalah tidak wajar bagi Ronnie membuat keputusan menggantung tugas Hamid kerana sepatutnya perkara ini dibuat secara kolektif dan bukannya berdasarkan pandangan sesetengah pihak saja.

Malah menurut Iskandar berikutan sikapnya yang mempertikaikan tindakan Ronnie itu beliau menerima banyak sokongan daripada pengundi dan orang ramai yang kesal dengan langkah terburu-buru Ronnie itu.

Bantahan Iskandar dan orang ramai itu terus mendapat perhatian dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar menyindir dengan berkata setiap Exco seharusnya menjaga bidang tugas masing-masing.

Pokoknya Ronnie mahu menjaga kepentingan siapa? Begitu juga Xavier dan juga Iskandar. Agaknya bagaimana mereka ini menghadiri mesyuarat Exco. Apakah setiap seorang akan bermasam muka di depan Menteri Besar ?

Laporan awal MPAJ menunjukkan kuil itu dibina di tanah rizab hutan di Ampang. Ada kalangan berkata surat peringatan dan arahan pindah sudah lama dikeluarkan.

Bagi menjaga hati pengundi MB dikatakan dengan segera menubuhkan jawatankuasa khas yang akan mencari tempat ganti bagi membina semula kuil dirobohkan itu.

Hamid yang digantung tugas atas dakwaan membenarkan tindakan diambil terhadap kuil itu pula dilaporkan bercuti raya dan tidak tahu mengenai apa berlaku itu.

Sedang isu kuil itu agak hangat tiba-tiba pula timbul kisah majlis perasmian patung Anwar di Batu Caves dihadiri oleh Adun kawasan itu, Amirudin Shari, Ahli Parlimen Kapar S Manikawasagam, R Sivarasah (Subang) dan William Leong (Selayang).

Dr Asri dalam ulasan beliau turut menekankan, pembinaan patung itu tetap haram kerana ia meniru perbuatan musyrikin dan perbuatan syirik yang jelas.

No comments: