Monday, August 11, 2008

MAJLIS PEGUAM:MOTIF FORUM MEMELUK ISLAM

Seluruh rakyat Malaysia pada hari ini melahirkan rasa bersyukur di atas rahmat kemakmuran, kedamaian dan keamanan yang dikecapi selama ini. Semuanya adalah kerana kurniaan yang maha esa kerana kita sentiasa berdoa kepadanya agar seluruh rakyat dalam negara dapat menikmati dan mengecapi keindahan ciptaannya.

Jika dibandingkan dengan negara-negara jiran, rakyat Malaysia sepatutnya menghargai dan sama-sama menjaga keamanan, kemakmuran dan kedamaian yang dinikmati. Sepatutnya apa yang kita nikmati hari ini tidak ada pihak mengambil kesempatan dengan cuba mewujudkan suasana yang boleh menjurus dan membawa negara kepada kehancuran dan permasaalahan.

Apa yang berlaku pada negara jiran haruslah dijadikan ikhtibar buat semua rakyat Malaysia. Jika sesuatu negara tidak aman dan makmur, maka kehidupan kita akan sentiasa dibayangi ketakutan dan kerisauan akan keselamatan dan pastinya nyawa akan menjadi taruhan bila negara dalam keadaan kucar-kacir dan kacau bilau.

Cubalah kita bayangkan jika konflik seperti yang terjadi di Selatan Thai, Selatan filipina, Indonesia, Myanmar dan Viet Nam berlaku di negara kita? Hidup tidak aman dan sentiasa dalam ketakutan, hendak keluar mencari makan, nyawa akan dipertaruhkan. Mana tidaknya, pembunuhan dan kekecauan berlaku dimana-mana dan nyawa ibarat sehelai kertas yang tidak bernilai.

Jika ini berlaku pada kita, kemana kita akan melarikan diri? Ke Indonesia? Hari ini saja jutaan rakyat Indonesia datang ke Malaysia mencari perlindungan dan mencari rezeki, atau ke Thailand? Rakyat Thailand pun begitu ramai di Malaysia, manakan tidak lihatlah saja dipelusuk seluruh negara kedai-kedai makan Tom Yam di kuasai oleh mereka. Siapakah ingin membantu kita? Singapura? cubalah kita renungkan, janganlah kita rakyat Malaysia mengadai maruah bangsa dan mengundang kehancuran negara semata-mata inginkan kepuasan nafsu semata-mata.


Jika negara tidak aman dan kacau bilau, pembangunan negara akan turut terjejas dan tumpuan untuk membangunkan negara akan tergendala malah mengundang campur tangan asing mengeruhkan lagi suasana. Jika tersilap langkah, negara akan tergadai dan pada masa itu tiada guna sudah kita menuding jari menyalahkan sesiapa kerana keamanan, kemakmuran dan keadamaian adalah tanggungjawab bersama.

Kekadang rakyat menjadi mangsa akibat kerakusan pihak yang dahagakan kuasa dan pentingkan diri sendiri. Kekadang kita nampak rakyat kita bersatu hati, namun bukan pada mereka yang pentingkan kuasa.

Hari ini, rakyat jauh disudut hati kecewa tidak terhingga kerana maruah agama Islam sudah tidak menjadi agenda untuk perkukuhkan bangsa Melayu di negara kita. Sebaliknya perjuangan untuk keadilan individu yang kononnya penyelamat bangsa menjadi agenda utama, maka berduyun-duyunlah rakyat, bersemangat melaungkan kata keramat ‘reformasi’ untuk kebebasan pejuang mereka.

Demi perjuangkan keadilan kepada rakyat, bermacam-macam cara dan helah dicari untuk mengajak rakyat berdemontrasi kononnya membantah ketidakadilan Kerajaan dalam melaksanakan beberapa tindakan seperti kenaikkan harga minyak dan kes liwat pejuang keadilan. Rakyat jelata diajak untuk berdemontrasi membantah tindakan Kerajaan, maka himpunan sejuta rakyat dan pelbagai lagi himpunan di buat semata-mata kononnya menuntut dan membela hak keadilan.

Namun hari ini, agama Islam telah dicabar dan 90% mereka hadir semasa mengadakan demontrasi dan perhimpunan sejuta rakyat sebelum ini, rata-rata beragama Islam hilang entah dimana membisu seribu bahasa walaupun isu memeluk Islam telah menjadi tajuk perbincangan oleh Majlis Peguam yang menyentuh hati dan perasaan umat Islam.

Tapi rasa sedih di hati tidak dapat dikata, rata-rata rakyat yang selama ini asyik berdemontrasi dan mereka berjuang mengadakan perhimpunan sejuta rakyat diam membisu, membiarkan Islam di telanjangkan begitu saja. Mungkin yang penting bagi mereka ialah memperjuangkan nasib ketua mereka yang kononnya penyelamat bangsa dan penegak keadilan, bukan pembela agama Islam.

Ketika ‘bapa’ keadilan mereka di dakwa di Mahkamah Sesyen, Jalan Duta, kira-kira 2,000 penyokong yang bersumpah taat setia pada ‘bapa’ keadilan sanggup berkorban masa sehingga membuat kecoh dan memaki hamun pihak berkuasa. Namun hari ini, apabila Agama Islam di persenda, hanya 1,000 saja umat Islam yang terasa tercabar kerana agama Islam di persenda hadir di perkarangan pejabat Majlis Peguam memperjuang dan mempertahankan keagungan Islam. Mereka ini berjuang untuk agama, tapi lihat bagaimana pengaruh manusia yang bergelar ‘bapa’ keadilan berjaya memesongkan pemikiran rakyat supaya agama adalah agenda kedua, tapi kepentingan untuk berkuasa adalah yang utama.

Nampaknya setianya bangsa Melayu yang mengaku beragama Islam hanya kepada ketua tapi bukan pada agama yang dianutinya. Bukankah ini menunjukkan tanda-tanda kita diakhir zaman?

Ini belum jadi ketua negara, kita sudah nampak akan tujuan dan motif perjuangan mereka. Tidak mustahil demi kuasa, semua kebebasan di beri hak sama rata, agama Islam, sesiapa boleh mempersenda dan dipersoalkan perlaksanaanya, sebabnya demi kuasa. Kenyataan Tun Mahathir jelas perlu di fikirkan dan direnungi oleh masyrakat kita “…kerana terlalu mahukan sokongan, Anwar juga sanggup menolak keistimewaan bangsa sendiri termasuk bekerjasama dengan Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang tebal dengan semangat perkauman” (Utusan Malaysia:9 Ogos 2008).

Ramai bangsa Melayu beragama Islam mengaku berasa tersentuh dan tercabar bila apa pihak cuba meniupkan api kemarahan apabila menyentuh sensitiviti agama yang bukan dianuti oleh mereka. Rata-rata orang bertanya kenapa Majlis Peguam hanya menyentuh soal Islam sahaja. Kenapa tidak menyentuh soalan agama Kristian, Hindu dan sebagainya. Kenapa hanya menyentuh persoalan akan berkenaan orang masuk Islam? Bagaimana berkenaan memeluk Kristian, Hindu dan sebagainya? Kenapa mereka tidak mengadakan forum mengenai memeluk Kristian, memeluk Hindu, memeluk Buddha dan sebagainya?kenapa Islam yang di pilih?

Inilah akibatnya jika orang Melayu sendiri berani menentang dan mempersoal dan mempertikaikan hak orang Melayu dan bergaduh sesama sendiri. Mereka sudah lihat akan kelemahan dan sikap orang Melayu dan yang beragama Islam dalam apa yang berlaku sejak kebelakangan.

Wujud juga persoalan kenapa Majlis Peguam tidak memangil pihak berwajib seperti pihak Kerajaan, JAKIM, para Mufti dan alim ulamak untuk turut sama dalam forum bagi membincangkan isu tersebut? Kenapa ia sengaja diperbincangkan secara terbuka? Bukan secara tertutup?

Walaupun Kerajaan melalui Timbalan Perdana Menteri, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Ahli-ahli Parlimen termasuk dari pembangkang seperti Menteri Besar Kelantan dan NGO’s membantah supaya Majlis Peguam membatalkan forum itu, namun ia tidak dihiraukan. Forum tetap diadakan, dan ia boleh dilihat terdapatnya unsur-unsur membangkitkan kemarahan umat Islam bertujuan untuk mencetuskan kekacauan. Adakah Kerajaan akan mengambil tindakan dan mengenakan ISA atau OSA kepada Majli Peguam? Sama-samalah kita tunggu dan lihat.

Inilah akibatnya jika kita mengundang anasir luar mencampuri urusan masalah dalaman negara. Anasir-anasir ini akan menggunakan mereka-mereka yang terdesak untuk mencetuskan suasana tidak aman. Jika kita amati, negara semakin dicabar secara halus sekitar empat tahun yang lalu. Salah satunya adalah usaha sistematik mereka untuk mendesak kerajaan meminda Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan, iaitu peruntukan mengenai kebebasan agama. Kumpulan bukan Islam yang menyokong syor pindaan itu telah mengumpulkan tandatangan para penyokong mereka menuntut Artikel 11 dipinda.
Kira-kira dua tahun lalu, pada 23 Julai 2006, ketika perdebatan kes murtad Lina Joy berada di kemuncaknya, kira-kira 8,000 aktivis Islam berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan untuk menunjukkan solidariti menentang gerakan untuk meminda Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, Majlis Peguam juga turut melukakan hati orang Melayu apabila ia menganjurkan forum membincangkan satu lagi isu sensitif berkaitan kontrak sosial iaitu diskusi yang menyentuh keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagi Majlis Peguam, perbincangan tersebut adalah hak mereka yang dijamin oleh undang-undang, tetapi orang Melayu pula merasakan kedudukan kaum pribumi itu yang diberi legitimasi dalam perlembagaan kini dipersoalkan secara terang-terangan.
Inilah akibatnya jika kita mengambil ringan dan mudah dengan apa yang berlaku sekeliling kita. Kita alpa kerana setiap hari kita senang dan gembira dengan kehidupan yang penuh dengan bermacam fitnah dan hasut, hasad dan dengki, caci dan maki sesama bangsa. Sebaliknya mereka hanya meneropong dan menunggu disaat kita alpa untuk mempertikai hak kita. Jadi forum memeluk Islam adalah buktinya. Jika kita angkuh dan sombong sesama bangsa, padah bakal menunggu dan yang ruginya adalah bangsa kita.
Haruslah kita renungi dan hayati, perjuangan bangsa kita agar tidak tergadai suatu hari nanti. Sepatutnya kita sesama bangsa hendaklah bersatu hati, walaupun berlainan parti demi masa depan bangsa dan agama dan anak cucu kita agar tidak merempat di bumi sendiri.

No comments: