Friday, August 29, 2008

TUN DR. MAHATHIR TERUS MEMBAKAR KELAMBU

Tun Dr.Mahathir salah dalam menilai penyertaan Tunku Aziz Tunku Ibrahim bekas Pengerusi Transparency International (TI) ke dalam parti DAP sebagai tandak orang Melayu telah menyokong DAP.

Sesunguhnya bukanlah baru orang Melayu menyertai DAP malah sejak era Tun Abdul Razak lagi ada beberapa kerat Melayu yang lebih bernilai telah menyertai parti itu umpamanya Allahyarham Mohd Noor seorang pemimpin Kesatuan Sekerja yang terkenal, tetapi siapalah Tunku Aziz? Dia tidak lebih dari seekor ikan bilis di kalangan masyarakat Melayu.

Dia di kenali di kalangan bukan Melayu sebagai seorang penulis kolum di akhbar NST yang pernah menghentam Anwar Ibrahim habis habisan. Dia bukanlah seorang nasionalis seperti Dr.Mahathir malah tulisan tulisannya tidak pernah menampakkan dirinya sebagai seorang yang memahami hasrat rakyat biasa sebaliknya merupakan seorang yang tidak sensitif kepada perasaan bangsanya..

Dia berbeza dengan pemimpin Melayu lain yang mendapat dididikan Barat. Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr.Ismail, Tun Hussein Onn adalah elitis Melayu pada zaman mereka tetapi tidak nampak terasing dari aliran perjuangan yang berteraskan akar umbi nasionalisma Melayu dan Malaysia. Nasionalisma mereka tidak di persoalkan tetapi siapakah Tunku Aziz yang bercinta dengan DAP sejak 20 tahun lalu? Dia tidak pernah di dikenali di kalangan politik Melayu, samaada di kalangan ahli biasa Pas atau pun UMNO atau di kalangan intelektual Melayu, apatahlagi kepada rakyat biasa di kampong- kampong.

Fikirannya adalah fikiran Bar Council yang menyamai fikiran Zaid Ibrahim seorang yang berjaya menjadi menteri kerana perlantikan dan bukan kerana persetujuan rakyat.

DAP telah mengumumkan penyertaannya seolah-olah sebagai tangkapan “ikan besar” ketika pilihanraya kecil Permatang Pauh. Bagi DAP memang dia perlu membesarkan yang kecil untuk memperkuatkan lagi keyakinan bukan Melayu bahawa DAP semakin popular di kalangan orang Melayu, sama seperti perlunya akhbar Melayu membesarkan seorang bukan Islam memeluk agama Islam.

Tindakan keluar seorang pemimpin Gerakan dalam masa pilihanraya itu juga telah digunakan oleh DAP untuk mempromosi pengaruhnya tetapi apalah ertinya lagi Gerakan kepada BN, sebuah parti yang kalah bersih di kubunya Pulau Pinang. Parti ini tidak mempunyai pengaruh nasional seperti MCA malah pada hakikatnya Gerakan adalah jelmaan DAP yang sering menjadi duri dalam daging kepada BN terutama bila BN berada dalam tekanan.

Bagaimanapun dalam saat saat kempen pilihanraya, tindakan mereka ini boleh mengelirukan rakyat atau mempengaruhi rakyat sekalipun sebenarnya personaliti mereka ini adalah “murah” dan tidak bermaruah yang tidak akan dapat memberikan bantuan besar kepada mana mana parti yang mereka sertai atau memberi kesan buruk kepada BN.

Tunku Aziz hanya amat hebat kepada DAP sahaja, seminit sahaja lepas memasuki DAP, Tunku Aziz terus di lantik menjadi Naib Pengerusi parti itu kerana dia telah mencurahkan cintanya yang terpendam selama 20 tahun kepada DAP.



Bagaimanapun amatlah mengejutkan dan sungguh di kesalkan seorang ahli politik yang pintar seperti Dr.Mahathir telah menganggap penyertaan Tunku ini begitu bererti kepada masyarakat Melayu pada hal orang Melayu tidak pernah merasakan Tunku ini pernah hadir di kalangan mereka.

Pengikhtirafan Mahathir kepada Tunku ini memberikan kredibiliti kepada DAP. Tun Dr.Mahathir terus tenggelam dibawa oleh arus kemarahan dan kebencian kepada “Pak Lah” sehingga beliau tidak lagi nampak tepian dan pantai.

Kerana kemarahannya dia sedang membakar kelambu bangsanya.

Maka itu lah juga sebabnya Dr.Mahathir seorang nasionalis yang diterima sebagai internasionalis telah memberikan nilai yang tinggi kepada manusia yang hanya layak untuk berada di bawah telapak kakinya.

No comments: